Di sebalik kerjaya hebat pemain, sudah pasti ada ejen yang memainkan peranan di sebaliknya.
Daripada Cristiano Ronaldo, kepada Lionel Messi hinggalah ke Mo Salah ejen merupakan individu yang memainkan peranan penting di belakang tabir untuk memastikan klien mereka mendapat yang terbaik.
Beberapa filem Hollywood juga memaparkan peranan ejen dalam mendapatkan pekerjaan seperti Jerry Maguire lakonan Tom Cruise ( takda kaitan dengan Harry Maguire ) dan juga Baller di HBO, telah memberikan gambaran bagaimana bekerja sebagai ejen pemain, meskipun tidak menggambarkan secara realiti bagaimana bekerjasama dengan nama nama besar dalam sukan.
Tidak dinafikan ianya sesuatu yang amat lumayan jika terlibat secara langsung, namun ianya juga merugikan jika gagal diuruskan dengan baik.
Jadi untuk terlibat dalam urusniaga ini, seseorang ejen pemain harus memiliki skil tertentu untuk kekal berdaya saing untuk mencatatkan kejayaan.
Jika anda berminat menjadi seorang ejen pemain, Goal telah memberi gambaran ringkas mengenai apa yang anda perlukan untuk menjadi seorang ejen pemain.
Apakah Ejen Pemain Bolasepak?
Mereka adalah wakil atau perantara kepada pemain atau beberapa pemain yang bakal menarik minat kelab kelab.
Peranan ejen adalah :
- Rundingan kontrak untuk mencapai apa yang dimahukan oleh pemain;
- Mendapatkan sokongan dan tajaan lumayan dari penaja;
- Menguruskan penampilan pemain di TV, Radio atau Media Digital;
- Menguruskan temujanji wartawan dengan pemain untuk tujuan temuramah atau kolum akhbar.
Selain itu mereka juga mengambil tahu akan isu kewangan klien mereka, dan juga menjadi perantara antara media dengan pemain selain daripada menguruskan akaun sosial media.
Selain bisnes, sesetengah ejen juga amat rapat dengan klien dan menjadi sebahagian daripada rakan rapat pemain terutama ketika menghadapi krisis peribadi.
Namun tidak semestinya ejen pemain akan bekerja dalam satu syarikat, dengan kini ramai orang perseorangan juga bertindak sebagai ejen.
Seperti contoh keluarga pemain juga boleh bertindak seperti ejen pemain, terutama di awal karier pemain. ( Trent Alexander Arnold contohnya )
Bagaimana Mahu Menjadi Ejen Pemain?
Ianya tugas yang amat sukar, jadi untuk menceburkan diri dalam dunia ini bukan sesuatu yang mudah.
Tiada kursus khas diperlukan untuk menjadi sebahagian syarat kelayakan menjadi ejen pemain.
Namun begitu skop kerja ejen adalah sangat luas, jadi anda memerlukan kemahiran tertentu dan pengetahuan yang amat luas untuk menjadi seorang ejen lebih lebih lagi undang undang kontrak dan pengurusan perniagaan.
Sejak 2001, tiada lagi ejen pemain yang berlesen di bawah FIFA dengan badan bolasepak dunia itu percaya akan kebolehan persatuan persatuan persendirian mendapatkan lesen ejen pemain dan hanya memantau perantara tersebut.
Untuk menjadi ejen pemain rasmi individu itu harus berdaftar secara rasmi secara sah di dalam persatuan negara di mana klien itu sedang bekerja.
Di England, FA England bertanggungjawab untuk mendaftarkan ejen dengan sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen harus mematuhi peraturan 'Karakter dan Reputasi Baik' serta tidak terlibat dengan jenayah.
Yuran pendaftaran sebanyak £500 dikenakan sementara bayaran tahunan adalah bernilai £250.
Berapa Nilai Gaji / Bayaran Sebagai Ejen Pemain?
Bergantung sepenuhnya dengan siapakah klien mereka dan berapa ramai klien yang mereka wakili.
Ejen mendapat komisen kira kira bernilai 10% atau lebih daripada atlit yang mereka wakili. Jika anda mewakili pemain seperti Messi atau Ronaldo maka nilai tertentu bakal anda miliki.
Menurut Sport Management Worldwide, ejen boleh memperolehi sejumlah komisen bernilai £1,200 hingga £550,000 dari setiap pemain di EPL yang mereka wakili.
Manakala ejen pemain di MLS pula bayaran ejen bermula dari $1,300 hingga $260,000.
Sudah pasti ada ejen yang bakal menjana pendapatan hingga jutaan dollar namun ianya hanya di kelab kelab eksklusif sahaja.
Apakah Ejen Super?
Ianya ejen yang sangat efektif dalam menjalankan tugasnya dan mampu menjana pulangan yang amat banyak, mungkin jutaan dan mampu mempengaruhi klien dan kelab lain.
Mereka mampu untuk meluaskan profil klien mereka, kebiasaanya bintang bolasepak untuk menjana lebih banyak kewangan.
Reputasi mereka amat luas, dengan kemahiran rundingan yang baik dan ramai pengaruh, sekaligus mereka berkuasa dan menyukarkan rundingan individu dan kelab untuk khidmat klien mereka.
Individu yang menyandang gelaran ejen super ini seperti Jorge Mendes ( mewakili Ronaldo dan Jose Mourinho ), Mino Raiola ( mewakili Zlatan Ibrahimovich dan Paul Pogba ) serta Jonathan Barnett ( mewakili Gareth Bale dan Jesse Lingard )
Bagaimana Mahu Mencari Ejen Pemain?
Industri bolasepak kini dipenuhi oleh wakil atau syarikat ejen yang mahu dapatkan klien, jadi ianya tidak sukar untuk mendapatkan wakil atau ejen pemain ketika ini.
Namun begitu sesetengah pemain tidak mempunyai ejen dan ianya bakal menimbulkan masalah jika mereka mahu mencari kelab baru atau berunding untuk menyertai kelab baru terutama di hujung kontrak mereka.
Tetapi terdapat ejen atau syarikat yang beroperasi di seluruh dunia dan ianya mudah untuk bernaung di bawah mereka secara rasmi sebelum menentukan hala tuju karier mereka selepas itu.
Syarikat ejen pemain seperti Gestifute, Triple S Sport and Entertainment dan Stellar Football adalah antara ejen pemain terbesar di dunia bolasepak selain daripada beberapa ejen pemain lain yang terkemuka.
Untuk membantu pemain, keluarga dan kelab kebiasaannya FA akan menyenaraikan ejen berlesen setiap tahun di mana mereka akan dapat manfaat daripada ejen tersebut selepas itu.
Pemain hanya perlu mengetahui hubungan antara kelab dan ejen sebelum mempertimbangkan keputusan mereka.
ADMIN
Berminat untuk menjadi ejen pemain? Di Malaysia berkemungkinan ada juga, tetapi tidak dipastikan siapa yang mewakili pemain bernama Zulhelmi De Paula.
Sumber : Goal.com
Comments
Post a Comment